SAM BERSAMA ALUMNI ANAK KANDUNG SULUH BUDIMAN MEMBERSIH TELUK MEMPELAM DAN PANTAI GENANG PULAU LANGKAWI

PULAU LANGKAWI 29 Julai 2023 – Seramai 22 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), daripada Sahabat Alumni Mahasiswa, persatuan pelajar yang sah dibawah kelolaan Pusat Alumni UPSI telah melakukan pembersihan pantai di Teluk Mempelam, Geoforest Park, salah satu pulau daripada 99 buah pulau yang berada di Langkawi dan Pantai Cenang di Langkawi pada 29 Julai 2023. Bersama ahli Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), mahasiswa ini telah menjalankan aktiviti mingguan ‘Idaman Geosite Clean Up’ (IGSC) untuk kali ke-107.

Program IGSC anjuran LADA ini merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan jumlah sampah yang terapung di perairan Langkawi UNESCO Global Geopark. Program ini bertujuan untuk memelihara dan menghidupkan semula Teluk Mempelam yang sudah lama tidak beroperasi akibat daripada wabak pandemik yang lalu. Program ini juga bertujuan untuk memperindahkan semula kawasan tersebut bagi mengekalkan keindahan dan keselesaan kepada pelancong dan penduduk setempat.

Pada 30 Julai 2023, mahasiswa ini telah menjalankan aktiviti mengutip sampah di sekitar kawasan Pantai Cenang. Mahasiswa dibahagikan kepada lima kumpulan untuk menjalankan aktiviti ini lebih efisien dan lebih banyak kawasan dapat dibersihkan. Kawasan Pantai Cenang merupakan kawasan pelancongan yang dihadiri ratusan pelancong saban hari dan kebersihan pantai tersebut dijaga oleh pekerja-pekerja pembersihan, tetapi tenaga kerja tersebut tidak mencukupi menyebabkan terdapat banyak sampah sepanjang persisiran pantai tersebut.

Dalam mengejar kecemerlangan akademik, mahasiswa ini juga turut diajar tentang kecemerlangan sahsiah dan jati diri tentang pentingnya menjaga persekitaran yang bersih dan mengekalkan alam semula jadi agar dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang. Besarlah harapan semoga program sebegini dapat memberikan manfaat yang maksima pada mahasiswa SAM sekaligus dapat mencorakkan generasi Anak Kandung Suluh Budiman yang hebat dari segi akademik dan akhlaknya.

Skip to content