REUNION PERDANA AKSB KELANTAN 2023

KOTA BHARU – Penyatuan semula alumni – alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang berlangsung di H Elite Hotel, Kota Bharu pada 27 – 29 Oktober lalu telah menyatukan 4 legasi pendidik bermula dengan legasi SITC, MPSI, IPSI dan UPSI. Legasi yang bergerak seiring dengan kemajuan sistem pendidikan di dalam negara. Program ini juga adalah kesinambungan Reunion Perdana Pulau Pinang (2019) di Hotel Tabung Haji, Reunion Perdana II Shah Alam @ RUSA’22 di Hotel Concorde Shah Alam Selangor (2022) dan Reunion AKSB Kelantan 2023.

Program ini adalah anjuran bersama Pusat Alumni dan Anak Kandung Suluh Budiman Kelantan yang bertujuan memperluaskan jaringan dan jalinan antara alumni. Ia dijayakan dengan mengadakan sesi perbincangan, bertukar fikiran berkaitan kelestarian dan kecemerlangan UPSI dan sesi perkongsian kisah perjalanan kejayaan alumni dari pelbagai bidang kerjaya. Program ini juga adalah sebagai satu pengiktirafan terhadap jasa – jasa pendidik lepasan anak kandung suluh budiman yang telah melahirkan anak – anak bangsa yang terdidik dan menghargai sumbangan bakti mereka melalui ilmu pengetahuan yang tersebar ke seluruh pelusuk negara melalui pendidikan. Seramai 136 orang alumni yang berada di Kota Bharu dari pelbagai legasi telah hadir. Program yang telah dirasmikan oleh YBhg Dato Seri Hj Ahmad Bin Hj Burak, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Alumni).

Majlis makan malam yang dianjurkan pada 28 Oktober yang diacarakan oleh Puan Omwarkah Binti Yusoff, Guru Besar SK Semut Api, Kota Bharu (Alumni Era IPSI) bersama Dr. Roslan Bin Abdul Wahid, pensyarah IPGKB (Alumni Era UPSI). Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Muhd Fadhli Jusoh, Pengetua SMKA Tok Bachok (Alumni Era IPSI & UPSI) dan beberapa persembahan – persembahan menarik dari Kumpulan tarian IPG Kampus Kota Bharu yang dibimbing oleh pensyarah IPGKB iaitu Encik Nik Dazpi Bin Mustafa (Alumni Era UPSI) dan Puan Norazana Binti Mohd Norddin (Alumni Era IPSI & UPSI), lagu dikir oleh Encik Wan Mohd Suhaizi Bin Wan Mohamad (Alumni Era UPSI) yang juga merupakan Tukang Karut Terbaik peringkat Kebangsaan 2022 dan beberapa persembahan dari alumni lain.

Pelbagai ulasan positif telah diterima supaya program seperti ini terus berjalan bagi menguatkan lagi hubungan antara alumni serta dapat mengembangkan jalinan kerjaya bagi alumni. Dengan adanya program ini, ianya dapat menyemarakkan lagi budaya kasih sayang, kebahagiaan dan kehormatan alumni kepada alma meter dan juga dalam kalangan ahli alumni.

Skip to content