UPSI IKTIRAF ALUMNI SEMPENA HARI GURU 2023

Tanjong Malim – Cendekiawan, perancang bahasa tamadun alam melayu dan persuratan Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan antara yang menerima Anugerah sempena Hari Guru 2023 yang dilangsungkan di UPSI.

Selain anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman, Canselor UPSI iaitu Tuanku Zara turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh Guru Alumni kepada Sembilan penerima antaranya Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Hamdan Bahari, Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari, dan komposer terkenal Rozman Shafie (LY).

Seterusnya, 15 orang turut terpilih menerima Anugerah Guru Cemerlang antaranya Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan, Abd Rahman Ali Bashah, Pemenang Malaysia Teacher Prize 2022, Anuthra Sirisene, Penerima Anugerah Global Teacher 2021, Komathy Veerasinghan, Mantan Pegawai Pelajaran Kanan Brunei, Datuk Paduka Muhammad Taha Abdul Rauf, Mantan Menteri Negara Kanan Singapura, Datuk Seri Sidek Saniff dan ramai lagi.

Pusat Alumni ketika dihubungi, menyatakan bahawa alumni-alumni yang menerima Anugerah ini adalah mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang Pendidikan di peringkat Nasional.

Kejayaan insan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman, setiap masanya dan ketika ada harga yang tersendiri, dan semuanya telah dinilai dan diberi pengiktirafan di majlis yang penuh Istiadat dan bermakna ini.

Sepanjang seabad penubuhannya, UPSI telah melahirkan legasi pendidikan di seluruh negara bermula dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) hingga terukirnya nama-nama tokoh guru yang hebat seperti Pendeta Zaaba, Aminuddin Baki, Tun Rahman Abbas, Ibrahim Haji Yaakub dan ramal lagi tokoh pendidik yang memberi inspirasi kepada pendidik di seluruh negara.

Seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan, UPSI selaku Peneraju Kebitaraan Pendidikan sentiasa berusaha menorak langkah menerajui kecemerlangan pendidikan merangkumi tiga intipati laitu integriti, Adab dan Akhlak.

Turut hadir di majlis ini adalah YB Khairuddin Abu Hanipah yang merupakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak yang mengiringi Tuanku Zara dalam majlis yang penuh gilang-gemilang tersebut. Turut menjadi tumpuan apabila nama YB Khairuddin Abu Hanipah yang merupakan Alumni UPSI turut diumum sebagai penerima Anugerah atas bakti dan pengorbanan beliau dalam mendidik anak bangsa sebelum terlibat dalam politik sepenuhnya.

Menurut Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Siti Hartini Azmi yang ditemubual selepas majlis diadakan, beliau menyatakan ini merupakan usaha yang baik dari Universiti dalam mengiktiraf dan menghargai alumni-alumni yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi.

Menjadi harapan semua, agar pengiktirafan sebegini mampu disahut oleh setiap agensi dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing seiring dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan insan yang Madani.

Skip to content