YBHG. DATO’ SERI AHMAD BURAK BERKONGSI KISAH HIDUP BERSAMA 780 ORANG PELAJAR DARI KOLEJ HARUN AMINURRASHID

Tanjong Malim – Siri Alumni Talk 3.0 kali ini menampilkan seorang tokoh alumni AKSB era IPSI 1989 yang berwibawa dan berjaya iaitu YBhg. Dato’ Seri Hj Ahmad bin Hj Burak. Beliau yang diberi pelantikan semula sebagai Ahli Lembaga Pengarah (Wakil Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris berkuatkuasa pada 28 September 2023 sehingga 27 September 2025. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) UPSI dan Pengarah Eksekutif Innovative Force (M) Sdn. Bhd.

Bicara siri ini adalah hasil kerjasama Pusat Alumni, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid dan Pengetua Kolej Harun Aminurrashid yang berlangsung di Dewan Kolej Harun Aminurrashid. Hadir sama di dalam majlis ini adalah Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Siti Hartini Azmi, Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Abdullah; Penolong Pendaftar Kanan, Encik Anizan Md Noor dan Presiden Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Mohamad Naqiuddin Abd Rahman. Bicara ini telah berjaya mengumpulkan seramai 780 warga Kolej Harun Aminurrashid.

Pembicara menceritakan laluan perjalanan kehidupannya sehingga kini. Penceritaan yang menjadi inspirasi buat generasi masa kini untuk berdaya saing seiring dengan kemajuan negara. Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada semua pelajar kerana memilih UPSI untuk meneruskan pengajian dan mengungkapkan agar UPSI akan terus unggul menjuarai bidang pendidikan sambil berharap agar pelajar tidak mensia-siakan peluang yang terbentang di hadapan mereka.

Buah akal ialah ilmu pengetahuan, buah jiwa adalah iman dan buah fizikal adalah kemajuan. Semoga hubungan baik antara pelajar dan alumni berterusan agar dapat bersama-sama menaikkan dan mengharumkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Skip to content