Tanjung Malim, 28 April 2024- Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Alumni Anak Kandung Suluh Budiman 2024 dengan penuh kemeriahan. Majlis yang disertai oleh para alumni Anak Kandung Suluh Budiman empat era SITC-MPSI-IPSI-UPSI telah diadakan di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Majlis yang julung kalinya diadakan di dewan terbuka telah diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Norkhalid Salimin serta dif-dif jemputan. Selain itu, majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran para calon Anugerah Ikon Alumni beserta keluarga bersempena sambutan Hari Alumni UPSI 2024 yang disambut setiap tahun pada 30 Mac. Namun begitu, majlis sambutan hari alumni telah digabungkan bersama sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana tarikh sambutan Hari Alumni UPSI 2024 berada dalam bulan Ramadan.
Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini telah dimulai dengan ucapan aluan oleh Prof. Dr. Norkhalid Salimin dan disusuli dengan ucapan Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff yang merupakan dua invidu figura Anak Kandung Suluh Budiman. Dalam ucapan Dato’ Naib Canselor, beliau menzahirkan rasa gembira dan teruja dengan kehadiran alumni dari empat era yang dapat berkumpul di bumi Muallim yang bertuah ini untuk meraikan Syawal yang mulia bersama. Beliau juga menegaskan supaya alumni Anak Kandung Suluh Budiman untuk terus menyumbang bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari segi ilmu, kemahiran atau produk yang dapat sama-sama menaikkan nama UPSI.
Bersempena sambutan Hari Alumni 2024 yang diraikan bersama, Pusat Alumni turut meraikan para alumni dengan mengadakan majlis penyampaian Anugerah Ikon Alumni Anak Kandung Suluh Budiman 2024 yang terdiri daripada lima kategori bagi menghargai kecemerlangan alumni dalam bidang Pengurusan, Kesukarelawan, Keusahawanan, Inovasi dan Sukan. Pusat Alumni telah menerima seramai 36 orang pencalonan pada kali ini dalam pelbagai kategori. Anugerah-anugerah Ikon tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor UPSI kepada Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Rashidi Bujai yang terpilih sebagai Ikon Pengurusan terbaik, Mazuki Tambi telah dianugerahkan sebagai Ikon Kesukarelawan Terbaik, Albert Cheng Ming Hua telah dianugerahkan sebagai Ikon Keusahawanan terbaik, manakala Anugerah Ikon Inovasi terbaik telah dianugerahkan kepada Nurhuda Md Tahir. Sementara itu, Ikon Anugerah Sukan telah diberikan kepada Anita Yusof.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Siti Hartini Azmi yang merupakan tuan rumah bagi penganjuran majlis pada kali ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua alumni yang hadir bagi memeriahkan lagi Majlis Hari Raya dan Sambutan Hari Alumni Anak Kandung Suluh Budiman 2024. Semoga ukhwah dan jalinan silaturrahim para alumni dapat terus dieratkan dan seterusnya dapat sama-sama membantu meningkatkan nama baik universiti yang Bitara ini untuk meluncur tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.