Tanjong Malim: Sambutan Hari Guru peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024 telah berlangsung pada 29 Mei di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Sambutan ini meraikan serta memberi penghargaan terhadap tenaga pendidik yang telah memberi sumbangan besar kepada dunia pendidikan di Malaysia.
Asal mula UPSI dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), kini telah dinaiktaraf kepada Universiti Pendidikan.
Pusat Alumni UPSI turut meraikan alumni yang menerima Anugerah Sambutan Hari Guru UPSI dengan Majlis Sambutan serta penyampaian mafla Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB).
Majlis yang berlangsung di Ruang Legar, Pusat Pelajar UPSI telah dihadiri oleh Pengarah Pusat Alumni, Dr. Siti Hartini Azmi, Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Mazuki bin Mohd Yasim, serta Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Encik Rasyidi bin Johan. Dalam majlis tersebut, Dr. Siti Hartini juga beramah mesra serta berkongsi “Success Story” bersama penerima anugerah.
Majlis diteruskan dengan pergerakan masuk ke Dewan Tuanku Canselor bagi penyampaian anugerah kepada alumni yang telah berbakti dan mengharumkan nama Universiti. Sambutan Hari Guru UPSI 2024 ini mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan pendidik kepada dunia pendidikan negara. Seramai 14 Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) telah menerima pengiktirafan.
Anugerah Tokoh Pensyarah (Alumni) telah dianugerahkan kepada Profesor Madya Dr. Ghazali Bin Din dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Encik Wan Mohd Syaril Annuar Bin Wan Mohd Harith dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Dr. Nor Mashitah Binti Mohd Radzi dari Fakulti Pembangunan Manusia, serta ChM. Dr. Mohamad Idris Bin Saidin dari Fakulti Sains dan Matematik.
Anugerah Tokoh Guru (Alumni) pula diberikan kepada Encik Aznan Bin Abas, Guru Penolong Kanan dari SMK Kuala Besut, Encik Tarmizi Bin Awang @ Yaacob, Guru dari SK Kut Daro, Sarawak, Encik Venkateswaran Ramiah, Guru Matematik Tambahan dari SMK St. John, Encik Safuan Bin Haji Raba’ai, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, serta Encik Muhammad Nur Asnawi Bin Romly, Guru dari SK Pos Musoh Landing Zone, Tapah, Perak.
Anugerah Pendidik Cemerlang (Alumni) telah diterima oleh Prof. Dr. Ahmad Bin Hashim, Mantan pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI, Leftenan Kolonel Norlin Binti Salleh, Pengarah Pendidikan Tentera Darat, Encik Muhamad Tajudin Bin Mustafa, Pengarah Urusan Qc Group Sdn. Bhd., Encik Kathiresan A/L Moorthy, Guru dari SK Mahmud, Raub, Pahang, serta Encik Goh Kok Ming, Guru Matematik dari SJKC Hua Lian 1, Taiping, Perak.
Tahniah dan syabas diucapkan oleh pihak Pusat Alumni UPSI kepada semua alumni yang telah menerima anugerah pada Majlis Sambutan Hari Guru UPSI 2024 ini. Semoga jalinan antara Pusat Alumni UPSI dan alumni akan terus terjalin dalam mengharumkan dan mempromosi Universiti di mata dunia.