NAIB CANSELOR UPSI LANCAR TABUNG ALUMNI SQUARE

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni telah menganjurkan majlis apresiasi alumni staf anak kandung suluh budiman dalam kalangan staf UPSI yang bertugas di pelbagai fakulti dan pusat tanggungjawab. Majlis ini bertujuan untuk mengumpul para staf alumni AKSB dan merapatkan lagi silaturahim antara mereka.

Majlis Apresiasi Alumni staf Anak Kandung Suluh Budiman UPSI ini julung kali diadakan setelah sekian lama negara berdepan wabak penyakit Covid-19 yang melanda. Program yang berkonsepkan santai ini telah dilaksanakan di Dewan Banquet, Aras 5, Bangunan E-Learning, UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang telah berlangsung dengan meriahnya pada 26 September 2023.

Program inisiatif Pusat Alumni UPSI yang bertujuan untuk memelihara hubungan silaturahim dan bertanya khabar di antara alumni-alumni dari pelbagai fakulti dan Pusat Tanggunggjawab. Para alumni ini terdiri daripada pelbagai pangkat dan jawatan yang banyak mengharumkan nama universiti dalam pelbagai pencapaian di pelbagai peringkat. Dengan adanya usaha dan kerjasama alumni-alumni staf, kini nama UPSI telah berjaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama universiti-universiti awam lain dalam pelbagai bidang sekaligus melonjakkan kedudukan QS-Ranking universiti ke kedudukan yang semakin baik.

Majlis yang dihadiri oleh 122 orang alumni staf diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Ahmad Haji Burak (wakil alumni) dan beberapa Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni Suluh Budiman sebagai tanda sokongan terhadap peranan alumni Anak Kandung Suluh Budiman dikalangan staf yang sentiasa berperanan mencorak kemajuan dan kegemilangan universiti tercinta. 

Pengarah Pusat Alumni, Dr. Siti Hartini Azmi melalui ucapan aluan beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor UPSI yang sudi meluangkan masa walau dalam kesibukan untuk bertemu  semua alumni staf yang hadir. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua alumni staf yang hadir ke majlis kali ini. Dr. Siti Hartini telah menyantuni para alumni dengan memaklumkan beberapa inisiatif yang boleh diperolehi oleh alumni antaranya diskaun 20% kadar yuran bagi alumni yang berhasrat menyambung pengajian di UPSI, diskaun pembelian buku dan lain-lain insentif khas untuk para alumni.

Selain itu, Pengarah Pusat Alumni memaklumkan satu dataran alumni yang dikenali sebagai “Alumni Square” yang akan dibina dalam masa terdekat bagi tujuan memahat nama para alumni UPSI bermula dari istiadat konvokesyen yang pertama hingga sekarang. Nama para alumni ini akan di pahat secara kekal sebagai kenangan di dataran tersebut. Sehubungan itu, komitmen para alumni amatlah diharapkan dalam bentuk sumbangan kewangan bagi merealisasikan projek tersebut.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff yang juga merupakan seorang Alumni Anak Kandung Suluh Budiman, dalam ucapan beliau menyeru supaya para alumni staf yang belajar menimba ilmu diperingkat tinggi di bumi Tanjong Malim ini dan seterusnya diterima untuk berkhidmat bakti di UPSI seharusnya bersyukur kerana dapat terus mencari rezeki di universiti ini. Oleh itu, nikmat kesyukuran tersebut seharusnya akan lebih bermakna jika ianya dapat dikongsi sebahagian darinya kepada alma-mater melalui Pusat Alumni. Beliau berharap semua alumni staf akan berganding bahu untuk menyumbang dan menjadi wakil universiti untuk sama-sama mendapatkan sumbangan dari pelbagai pihak sama ada agensi luar, individu atau di pusat tanggungjawab masing-masing bagi merealisasikan hasrat untuk mendapatkan sumbangan sebanyak RM 800,000.00 bagi menyiapkan projek “Alumni Square” tersebut. Diharapkan semua alumni dapat menyumbang dengan ikhlas dan rela hati untuk projek ulung ini.

Ucapan Naib Canselor diakhiri dengan perasmian pelancaran tabung “Alumni Square” UPSI. Seterusnya Naib Canselor mengucapkan tahniah dan terima kasih beliau kepada Timbalan Naib Canselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Norkhalid Salimin atas cadangan pembinaan “Alumni Square” dan seterusnya Pengarah Pusat Alumni serta staf Pusat Alumni yang berjaya menganjurkan Majlis Apresiasi Alumni Staf UPSI pada kali ini. Beliau juga mengharapkan majlis ini akan dapat diadakan dengan lebih kerap supaya ukhwah yang terjalin akan lebih kukuh dan pelbagai perancangan dapat dikongsi untuk kebaikan bersama.

Skip to content