PUSAT KAUNSELING UPSI SANTUNI PELAJAR SMA NEGERI 1 LHOKNGA, ACEH

Acheh- Program Corporate Social Responsibility (CSR) dan Lawatan Sambil Belajar  diteruskan untuk hari kedua pada 5 Mac 2024, menyaksikan para peserta yang terlibat dengan menyantuni para pelajar SMA Negeri 1 Lhoknga, Aceh. Program bermula seawal jam 7 pagi, waktu tempatan dengan penyertaan daripada mahasiswa-mahasiswa Himpunan Mahasiswa Bimbingan dan Konseling Universitas Syiah Kuala (USK) dan Perstauan Psychological First Aid Team (PFA).

Aktiviti dimulakan dengan ucapan perasmian daripada pengetua sekolah dan disusuli dengan pemberian cenderahati kepada pelajar SMA Negeri 1 Lhoknga oleh Pusat Alumni dan Pusat Kaunseling UPSI. Dari pihak SMA Negeri 1 Lhoknga turut menyambut baik kedatangan delegasi dengan mempersembahkan persembahan pelajar oleh saudari Junaida Aulia dengan persembahan puisi. Setelah acara perasmian selesai, aktiviti diambil alih oleh para peserta daripada mahasiswa UPSI dan juga Universitas Syiah Kuala. Perlaksanaan modul telah dilakukan dengan sepenuh komitmen oleh mahasiswa UPSI dengan pemantauan Pegawai Psikologi dan Pengarah Pusat Kaunseling UPSI untuk memastikan impak dan objektif program tercapai.

Aktiviti telah dimeriahkan dengan penglibatan pengetua Sekolah SMA Negeri 1 Lhoknga,  Ibu Eka Sari Dewi SSi, MPd yang telah berbesar hati untuk merasmikan program pada hari tersebut. Turut hadir bersama Pengarah Pusat Kaunseling, Dr Pau Kee, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Prof. Madya Dr Md. Noor Saper, , Pengarah Pusat Alumni, Dr Siti Hartini Azmi, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr Sakinah Salleh, Pengarah Mahasiswa Universitas Syiah Kuala, Hetty Zuliana, S.Pd., M.Ed., PhD dan Pengarah Mahasiswa Universitas Syiah Kuala, Nur Baity, S.Pd., M.Pd.

SMA Negeri 1 Lhoknga terletak di kawasan pinggir bandar menyebabkan sekolah ini kurang diberikan tumpuan kerana kedudukannya yang sedikit jauh dan mempunyai taburan pelajar yang sedikit. Kesukaran ini juga menyebabkan SMA Negeri 1 Lhoknga kekurangan sumber-sumber yang diperlukan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sumber untuk membantu sokongan moral mereka. Walau demikian, para pelajar di SMA Negeri 1 Lhoknga masih memiliki semangat menuntut ilmu yang tinggi dan jitu dalam mengembangkan perkembangan ilmu di Acheh dalam tuntutan untuk memperkasakan ilmu pengetahuan.

Kejadian banjir besar atau Tsunami yang melanda pada 2004, 20 tahun yang lalu sudah tentu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada penduduk di Acheh, termasuk para pelajar. Rata-rata sekolah di Acheh sering memberi peringatan kepada pelajar-pelajarnya untuk terus memperingati peristiwa tersebut dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Peringatan ini sering kali diungkapkan dalam bentuk puisi, dan lakonan pelajar. Namun, peringatan sebegini sahaja tidak mencukupi untuk memastikan semua pelajar berada dalam keadaan yang sedia jika sokongan mental tidak diberikan secara berkala. Sokongan mental atau psikologi amat diperlukan terutama pasca bencana agar pelajar dapat menjalani kehidupan dengan tenang tanpa perlu mengalami sebarang bentuk ketakutan dan kerisauan terutama berkaitan bencana. Oleh yang demikian, sokongan daripada luar, terutama daripada mahasiswa USK dan UPSI dapat memberikan serta menyuntik semangat para pelajar untuk terus bersemangat dalam menuntut ilmu dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

Menyedari kepentingan ini, Pusat kaunseling UPSI telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan aktiviti berbentuk sokongan dan aktiviti yang dijalankan juga bersesuaian dengan semua peringkat umur. Aktiviti yang dijalankan bertujuan memberikan pengalaman kepada para peserta untuk diaplikasikan secara langsung. Melalui pengalaman ini, para peserta yang terlibat dapat mengimplimentasikan kemahiran asas Psychological First Aid di lapangan bersama pelajar SMA Negeri 1 Lhoknga secara langsung. Mempraktikkan ilmu teori yang dipelajari amat penting bagi memastikan tahap keberkesanan ilmu yang dipelajari.

Program berbentuk sokongan moral seperti ini bukan sahaja mampu memberikan suntikan semangat kepada para pelajar SMA Negeri 1 Lhoknga, tetapi menunjukkan kepada semua bahawa sokongan mental dan psikologi amat penting terutama kepada mereka yang telah ditimpa musibah. Walaupun sudah 20 tahun kejadian Tsunami Acheh berlaku, namun kesannya masih dirasai oleh segenap warganya tanpa mengira umur, latar belakang dan taraf pendidikan. Bantuan psikologikal amat memainkan peranan penting khususnya dalam usaha untuk mengembalikan semangat dan motivasi dalam meneruskan kehidupan.

Program diakhiri dengan slot rumusan oleh peserta program dan ucapan penutupan oleh Pengarah Pusat Kaunseling UPSI. Diharapkan impak program ini dapat memberikan dimensi baru dalam kehidupan setiap peserta.

Skip to content