Kuantan, 20 November– Telah berlangsung satu Majlis Temu dan Tegur Anak Kandung Suluh Budiman di Pahang. Majlis ini telah diadakan di Hotel Seri Malaysia Kuantan, Pahang, yang dihadiri alumni daripada pelbagai Era. Majlis ini juga merupakan hasil usahasama dengan Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMi) UPSI yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuhkan jaringan antara alumni dari pelbagai generasi, sekaligus memberi platform kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan sumbangan kepada pembangunan negeri.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pengenalan berkaitan sistem penyeliaan dan mendapatkan kerjasama daripada alumni UPSI bermula di Negeri Pahang. Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk mendapatakan maklum balas Alumni Anak Kandung Suluh Budiman, terhadap keberkesanan penyeliaan latihan mengajar kepada pelajar-pelajar UPSI. Hasil kajian ini, maklum balas yang diterima akan digunakan untuk meningkatkan proses penyeliaan dan latihan mengajar pelajar UPSI untuk lebih bersedia menghadapi cabaran dalam bidang pendidikan.
Menurut Pengarah PuLaMi UPSI, Profesor Madya Dr. Ashardi Abas, beliau menggalakkan kerjasama dengan Pusat Alumni dapat diteruskan lagi di masa akan datang. Melalui usaha ini secara tidak langsung, dapat membantu PuLaMi dan Pusat Alumni membentuk para graduan UPSI melahirkan kesatuan yang terbaik dalam aspek pendidikan negara. Tambah lagi , wakil daripada Pusat Alumni Anizan Md Noor menyatakan pelbagai insentif dan kelebihan telah pun diwujudkan untuk alumni Anak Kandung Sulu Budiman.
Hasil daripada kerjasama ini dapat memberikan impak besar kepada ekosistem UPSI dengan mengintegrasikan alumni sebagai rakan strategik dalam membangunkan pelajar dan memperkasakan hubungan antara akademia dan industri. Kolaborasi ini membantu mewujudkan persekitaran pendidikan yang dinamik dan relevan dengan keperluan global. Di akhir sesi Program Temu dan Tegur, Pusat Alumni memberikan sedikit cenderamata kepada alumni yang hadir pada program kali ini. Sumbangan cenderamata ini sebagai satu simbolik kesatuan dan kejayaan kepada seluruh alumni yang banyak berjasa dan memartabatkan dunia pendidikan negara ini.