KHIDMAT TERAKHIR PUSAT ALUMNI UPSI UNTUK ARWAH FARAH KARTINI

Tanjong Malim, 29 Ogos 2024 – Pihak UPSI telah mengambil inisiatif untuk menghantar barangan milik arwah Farah Kartini yang merupakan seorang bekas penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke kampung halamannya di Sarawak.

Satu majlis ringkas penyerahan barangan berupa buku, beg pakaian dan beberapa barangan peribadi milik arwah Farah Kartini kepada pihak Pos Malaysia telah diadakan di bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Turut hadir bersama dalam sesi penyerahan barangan tersebut adalah Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Pendaftar UPSI, En Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Siti Hartini Azmi dan Dekan Fakulti Komputeran Dan Meta-Teknologi, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim sebagai wakil daripada pihak UPSI kepada pihak Pos Malaysia.

Turut dihadiri oleh Pengurus Besar Pos Malaysia Negeri Perak, Noorzuriha Haron Noh Rashid sebagai wakil daripada pihak Pos Malaysia dan beliau menjangkakan barangan milik arwah Farah Kartini akan tiba di kediaman ibu allahyarham, Siti Abdullah di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak pada pagi Selasa.

Tepat pada pagi Selasa, 3 September 2024, barangan milik allahyarham Farah Kartini telah tiba di kediaman ibunya di Kampung Lereng Bukit,Miri, Sarawak. Turut hadir menyampaikan kepada pihak keluarga adalah wakil daripada pihak Pusat Alumni,Pos Malaysia serta Bahagian Sumber Manusia UPSI.

Pihak Pusat Alumni UPSI mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pos Malaysia diatas sumbangan kemanusiaan yang diberikan bagi allahyarham Farah Kartini.

Perkara ini menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi sekaligus mencerminkan keperibadian yang murni dikalangan rakyat.

Pusat Alumni juga bukan sekadar menggambarkan rasa hormat dan kasih kepada Allahyarham Farah Kartini, tetapi juga berterusan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan antara alumni dengan universiti.

Yang pergi tetap pergi,yang ada kita kasihi,selagi ada rezeki untuk berbakti,selagi itu kami tidak berhenti. Semoga Allahyarham Farah Kartini ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan dicucuri rahmat. Al Fatihah.

Skip to content