Tanjong Malim, 16 Ogos 2024 – Satu majlis apresiasi alumni telah diadakan oleh Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meraikan 21 orang alumni Anak Kandung Suluh Budiman dari Sekolah Menengah Jalan Tasek, Ipoh Perak yang datang ke UPSI bagi program perkampungan ilmu yang diadakan di sekitar UPSI.
Program yang diadakan di Dewan Kolej Za’ba tersebut adalah bertujuan untuk menyantuni para alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tasek, Ipoh Perak. Dengan adanya majlis tersebut, Pusat Alumni dapat mengumpul dan mengemaskini data terkini para alumni yang berkhidmat di sekolah tersebut. Selain itu, kedua-dua pihak dapat mewujudkan jaringan hubungan serta berkongsi idea dan pandangan bagi meningkatkan kecemerlangan universiti tercinta.
Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Siti Hartini Azmi yang memberi ucapan aluan dan selamat datang kepada semua alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang hadir. Dalam ucapan yang disampaikan, beliau turut berkongsi pelbagai maklumat terkini berkaitan universiti dan juga kelebihan yang ditawarkan oleh universiti kepada semua alumni Anak Kandung Suluh Budiman. Beliau juga berharap para alumni akan terus berbakti dan menyumbang kepada Ibu Kandung Suluh Budiman sebagai satu wadah dalam mewujudkan hubungan yang era tantara alumni dan universiti.
Program tersebut diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata dari pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tasek, Ipoh Perak sebagai tanda kenang-kenangan kepada Pusat Alumni. Semoga dengan adanya program seperti ini dapat menarik minat lebih ramai alumni Anak Kandung Suluh Budiman untuk terus menyumbang kepada kelestarian dan kecemerlangan UPSI.