ALUMNI AKSB SELENGGARA KARANG TAMAN LAUT PULAU REDANG

Pulau Redang, 11 Julai 2024 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Penyelenggaraan Kerangka Besi Propagasi Karang di Stesen Penyelidikan Taman Laut, Pulau Redang, Terengganu bagi tahun ketiga dari 3 hingga 6 Julai. Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara alumni serta mendorong penglibatan dalam aktiviti komuniti dan telah dihadiri oleh 19 orang alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB).

Program ini merupakan kolaborasi antara tiga pusat tanggungjawab Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dari UPSI, yang diwakili oleh Pengarah Pusat Alumni, Dr. Siti Hartini, Prof. Madya Dr. Mazuki dan Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Wong. Program yang dilaksanakan antaranya adalah penyampaian sumbangan 40 naskhah Al-Quran kepada SK Pulau Redang, pemuliharaan karang dan CSR pembersihan pantai di Taman Laut, Pulau Redang.

“Pusat Alumni berterima kasih dan sangat menghargai usaha para alumni yang terlibat dalam program komuniti ini dan ia menunjukkan hubungan erat antara alumni dan universiti,” ujar  Dr. Hartini ketika ucapan beliau.

Objektif utama program ini adalah untuk menjalin hubungan silaturahim antara alumni UPSI agar terus terjalin bak air dicincang tidak akan putus, serta memperluas jaringan kerjasama antara Pusat Alumni, Jabatan Taman Laut Malaysia dan Pusat Kokurikulum JPN Terengganu serta masyarakat setempat. Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penglibatan alumni dalam pelbagai aktiviti, termasuk pemuliharaan alam sekitar seperti penyelenggaraan karang.

Program CSR ini diharapkan menjadi permulaan untuk lebih banyak kerjasama yang bermanfaat antara UPSI, alumni, dan komuniti tempatan dalam usaha memelihara sumber semulajadi dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan generasi masa depan.

Skip to content