UPSI SUMBANG 40 NASKHAH AL-QURAN KEPADA SK PULAU REDANG

Pulau Redang- Penyerahan sumbangan naskhah Al-Quran kepada Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, Terengganu adalah salah satu inisiatif bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Pusat Alumni dan Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah berlangsung pada 3 Julai yang lalu.

Program ini telah dihadiri oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, Rozila Ami dan Penolong Kanan Kokurikulum, Abdul Halim Hamza. Delegasi UPSI pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Profesor Madya Dr. Muhammad Aqil, Pengarah Pusat Alumni, Dr. Siti Hartini serta Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Mazuki dan kakitangan UPSI yang turut sama dalam program ini.

Program dimulakan dengan pembuka kata oleh Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB), Aznan Abas dan diteruskan dengan ucapan oleh Dr. Siti Hartini. Rozila Ami turut menyampaikan beberapa perkongsian serta pencapaian sekolahnya.

Seterusnya, beliau dengan rasa syukur turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada UPSI atas sumbangan yang telah diberikan oleh UPSI. Beliau juga telah membawa delegasi UPSI untuk  melawat kawasan sekitar persekolahan serta kemudahan seperti pusat sumber Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. Pusat sumber ini telah menjadi salah satu inisiatif sekolah bagi memaparkan sejarah Pulau Redang serta sekitarnya.

Selain itu, murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Pulau Redang juga telah menghasilkan karya bersama penulis tamu dari Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir serta Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot tentang salah satu destinasi pelancongan negara iaitu Pulau Redang. Semoga segala usaha, jaringan bersama dan sumbangan antara UPSI dan sekolah dapat memberi manfaat yang baik kepada para pelajar untuk masa akan datang.

Skip to content